Nuffnang Ads

Sunday, March 6, 2011

sila ''bedah siasat" !!!!!!!!!

Surat Terbuka kepada Dato' Seri Utama Presiden PBNS

Assalamualaikum Dato’ Seri Utama

Tanpa berselindung kami dari kelab e-Penyokong melahirkan rasa yang teramat sedih berikutan prestasi tidak seperti diharapkan pasukan Liga Super Negeri Sembilan di awal musim 2011 ini. Sudah terlalu ramai yang bercakap mengenainya, tetapi sejauh manakah pandangan ini dianggap buah fikiran membina, atau sekadar tohmahan untuk terus dibakul sampahkan. Apakah tiada satupun yang positif dari ribuan pendapat dan pandangan yang diutarakan melalaui laman sesawang (facebook umpamanya) Atau pendapat ini lahir dari emosi tidak terkawal kelompok yang dengkel dan cetek pertimbangan?

Tepuk dada tanya selera.

Kekalahan demi kekalahan sepatutnya menyedarkan untuk kita menoleh ke belakang melihat apakah strategi, pelaburan, perancangan dan perencanaan mengikut acuan, atau berlaku ketirisan yang mengakibatkan lompang yang memerlukan pemulihan segera.

Marilah kita berlapang dada, memberi dan menerima pandangan juga kritikan, seterusnya memperakui suara penyokong dan peminat yang masih sayangkan pasukan boleh dijadikan rencah menyelamatkan maruah. Sampai masanya pihak pentadbiran, pengurusan, kejurulatihan malah kelompok pemain itu sendiri dikejut dengan sedikit cubitan, untuk menyedarkan mereka dari lena yang panjang.

Sama ada mahu mengakui atau menafi, ada benar atau tohmahan semata, namun sudah heboh diperkata, malah bukan rahsia lagi bahawa kepincang dikaitkan berpunca dari kesilapan pihak pengurusan merangka strategi dan perancangan yang kononnya diurus secara professional dan berskala tinggi. Namun hakikatnya terlebih sudu dari isi sehingga melampaui tanggungjawab yang diberi. Lalu pihak kejurulatihan makan hati apabila peranan mereka turut dibayangi. Demi mengejar tiga piala, perancang jangka panjang sebelum-sebelumnya hanya tinggal rencana. Program pembangunan bakat sebelumnya telah ternoda.

Lalu berlakulah reformasi dalam pentadbiran dan barisan pemain demi mencapai kecemerlangan segera. Proses ‘menukar wajah’ dilakukan agak gelojoh dengan tidak mengambil kira kecantikan sedia ada. Pembelian pemain muda yang cetek pengalaman dianggap pelaburan sia-sia kerana barisan tersedia sudah mampu menggalas tanggungjawab yang diberi. Hakikatnya telah wujud kesefahaman yang jitu dalam pasukan, cuma sedikit penambahan untuk mewujud kesepaduan. Buktinya kita mara ke dua perlawanan akhir sedangkan di waktu itu kita dihantui deretan kecederaan pemain-pemain utama. Apakah ramuan di atas kejayaan itu? Sudah tentu persefahaman ini.

YAB. Dato’ Seri Utama

Kekalahan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 dikaitkan dengan pelbagai alasan yang boleh diterima pakai. Tetapi persoalan yang diutarakan oleh perantara rancangan Wisel Penamat siaran akhir RTM sebaik tamat perlawanan ketika itu, kononnya Negeri Sembilan sedang menghadapi masalah dalaman akibat campur tangan ‘orang luar’ seolah tidak diambil perhatiaan. Lalu kudis itulah yang konon membarahi keharmonian pasukan ini sekarang. Wallahualam...!

Saudara Wan Jamak dianggap pakar taktikal oleh sebahagian besar pengulas dan penulis sukan Negara. Tetapi sejak akhir-akhir ini beliau dilihat seakan buntu dan ketandusan idea sekalipun untuk menamakan kesebelasan utama dalam lambakan pemain yang dianggap berwibawa. Bukan sahaja lawan boleh membaca strategi yang dipersembahan, malah kalangan penyokongpun melihat seolah tiada pembaharuan. Tidak dilihat corak permainan pantas yang dipertontonkan seperti kelebihan yang dimilki pasukan Kedah dan Kelantan. Ketika pasukan lain semakin membina kecemerlangan, pasukan kita dilihat semakin tidak pro aktif, statik dan kekurangan ilham. Benarkah Saudara Wan Jamak dibayangi sesorang?

Meneliti pula barisan dan latar belakang deretan pemain berwibawa, seharusnya kita sudah boleh berangan untuk menggandingkan beberapa piala. Tetapi harapan yang diberikan kepada pemain-pemain yang ‘bernyawa’ ini seolah tiada ‘roh’nya. Masing-masing seolah keliru dengan peranan yang dipertanggungjawabkan dan akhirnya beraksi mengikut rentak sendiri. Dari tujuh perlawanan yang dilalui, hanya lima gol berjaya dihasilkan dan yang membimbangkan dua darinya bukan dari penyerang. Tiga gol pula dihasilkan oleh pemain berusia.

Satu bedah siasat secara menyeluruh, telus, ikhlas dan adil perlu dijalankan segera. Tindakan drastik perlu dilaksanakan tanpa memilih bulu demi memertabatkan semula maruah Negeri. Kami akan terus bersuara demi kecintaan terhadap negeri yang tiada batasnya. Siapapun yang menerajui, memimpin, melatih atau melaksanakan misi atas nama Negeri Sembilan, selagi itulah maruah harus dipertahan. Harus diingat, kita berkongsi Bendera, Lambang dan Jata Negeri yang sama.


Bersatulah! Kami optimis atas keperihatinan Dato' Seri Utama pasukan ini akan terus digeruni.


SOKONGAN TEGAR TANPA BERBELAH BAGI
"Musuhnya Habis Binasa"

Ahmad Zaini bin Baharun @ Abg Zaini maiMajau
Presiden Penaja
Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan
n9futbol.com

6 Mac 2011

No comments:

Post a Comment