Nuffnang Ads

Sunday, April 10, 2011

Pakar nutrisi: Ramai sokong diwujudkan

Print
Rabu, 25 Februari 2009 14:09
SUKAN

KUALA LUMPUR – Hakikat sains sukan termasuk kajian pemakanan penting dalam pembangunan bola sepak tempatan, ia turut dipersetujui beberapa jurulatih serta tokoh sukan.
Bagi bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, pemakanan sememangnya menjadi aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam arena bola sepak kebangsaan.

“Perlu ada pendedahan mengenai kepentingan nutrisi yang betul kepada pemain. Ini berkaitan dengan profesionalisme pemain. Mereka seharusnya didedahkan dengan cara pemakanan yang betul bagi seorang atlet.

“Di Malaysia, kita masih terlalu mentah dalam hal ini sedangkan ia aspek yang penting. Bagi pasukan negeri, tidak ada salahnya mereka mengambil seorang pakar nutrisi bagi memastikan para pemain mendapat makanan yang sihat serta membantu kecergasan,” katanya.

Pandangan Sathianathan itu turut disokong oleh jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan yang menyifatkan cadangan pengambilan pakar nutrisi untuk berkhidmat di pasukan negeri dan kelab sebagai amat wajar.

“Tidak saya nafikan, pemakanan adalah satu aspek yang perlu diberi perhatian dalam menentukan kecergasan pemain.
“Secara terbuka, pasukan saya tidak melakukan pemantauan terhadap pemakanan pemain tetapi saya selalu memberi nasihat mengenai baik dan buruknya sesuatu makanan.

“Jika pihak pengurusan mampu mengambil seorang pakar pemakanan, itu sudah dikira sesuatu yang baik. Ia secara tidak langsung dapat membantu kemajuan kecergasan para pemain.
Jurulatih Perlis, Irfan Bakti turut mengakui betapa penggajian seorang pakar nutrisi kepada sesebuah pasukan bakal mampu meningkatkan tahap kecergasan pemain.

“Saya akui gagal mengawal kehidupan seharian pemain termasuk isu pemakanan. Saya cuma boleh memberi nasihat tetapi mereka yang menentukan mengenai pemakanan mereka.

“Pelantikan seorang pakar nutrisi mungkin dapat membantu memberi kesedaran kepada pemain mengenai kepentingan menjaga pemakanan. Saya gemar mengambil contoh pasukan Kelantan yang kini lengkap dengan segala-galanya. Mereka terbukti berada di prestasi terbaik kini.

“Korea dan Jepun sudah lama menyedari mengenai perkara ini. Setiap pasukan liga mereka mempunya tukang masak sendiri bagi memastikan para pemain mendapat makanan berkhasiat. Kini, anda lihat di mana mereka berada,” ujarnya.

Petikan UTUSAN MALAYSIA – 25 Februari 2009

'Lupakan nasi lemak, roti canai'

SUKAN

HANYA pemain bola sepak itu sendiri yang dapat mengubah cara pemakanan mereka bagi membentuk tubuh badan bertenaga dan fizikal yang cergas.
Itu yang dinyatakan Perunding Pusat Pemakanan Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Zsuzsanna Fajcsak yang mahu minda pemain bola sepak di negara ini tentang kaedah pemakanan yang betul diubah sepenuhnya.

"Tanggapan minda seorang juara adalah dia memikirkan tentang pemakanan. Anda sendiri yang kena tentukan apa makanan yang perlu dimakan.
"Jika dulu anda boleh makan apa saja ikut persekitaran tapi sekarang anda atlet, pemain bola, jadi kena tentukan sendiri. Makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan," katanya.
Zsuzsanna yang berasal dari Hungary berkata demikian ketika mengadakan sesi pendidikan tentang pemakanan sukan kepada pemain-pemain bola sepak bawah 15 tahun (B-15), B-16 dan B-17 kebangsaan di ISN, Bukit Jalil petang semalam.

Menurut Zsuzsanna, makanan-makanan bergula dan berlemak memang sedap tetapi keenakannya hanya bersifat sementara kerana ia bukan merupakan sumber tenaga yang baik buat seseorang atlet.

"Lupakan nasi lemak, roti canai, goreng pisang, kari, keropok dan minuman berkarbonat. Belajar untuk mengawal pemakanan anda.
"Apa yang diperlukan atlet adalah karbohidrat untuk sumber tenaga utama, protein untuk membina otot dan fungsi badan serta lemak untuk penyimpanan tenaga," ujarnya.
Menurut Zsuzsanna, tenaga yang diperlukan bagi seseorang individu itu dikira dalam unit kilokalori (kcal) dan ia berbeza mengikut aktiviti yang dilakukan.

"Orang dewasa yang tidak aktif perlukan 2,000 hingga 3,000 kcal sehari, orang dewasa aktif bersukan antara 2,500 hingga 3,500 kcal manakala seseorang atlet antara 2,000 hingga 6,000 kcal bergantung kepada jenis sukan.

"Makanan mengandungi karbohidrat adalah sayur, buah, nasi, roti, pasta dan bijirin, protein pula terdiri daripada daging, ayam, ikan, makanan laut, telur dan susu manakala lemak merangkumi keju, mentega, krim, minyak masak, kacang dan mayonis," katanya.

Petikan KOSMO – 24 Februari 2009