Nuffnang Ads

Sunday, May 22, 2011

KESILAPAN UMAT ISLAM PADA HARI JUMAAT

KESILAPAN UMAT ISLAM PADA HARI JUMAAT
oleh : Amru Alhaz Bin Adnan

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah. Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah S.W.T memberi kebebasan dan  ruang yang cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki  dengan apa cara sekalipun termasuklah berniaga dan berjual beli. . Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus   yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9:

Yang Bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).
Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah S.W.T terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan Solat  Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli  dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut:

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua.
( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah saw tetapi bezanya  aktiviti jual beli itu itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar. Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada waktu tersebut khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat walaupun hukum jual beli tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.

Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lau Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud “ Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau ( wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.

Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain ialah kerana  terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat.  Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T  memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid  pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid  terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani  kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang.  Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :

Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditagguhkan sementara waktu ketika mana  azan kedua berkumandang.

Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.

Ketiga:  Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping  mengambil peluang  masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah .  

Saturday, May 21, 2011

Hari-hari diharamkan berpuasa dalam Islam...!!!!!!!!!












Islam > Bicara > Hari DIHARAMKAN Puasa




 






Hari DIHARAMKAN Puasa


 



Bulan Ramadhan mengingatkan kita akan tanggungjawab sebagai umat Islam untuk menjalani ibadah puasa. Pada bulan tersebut kita diwajibkan berpuasa selama sebulan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Selain puasa wajib, Allah turut menggalakkan umat-Nya menunaikan puasa sunat. Hari untuk  puasa sunat sudah diketahui umum oleh umat Islam antaranya, puasa 6 hari pada bulan Syawal atau puasa pada hari Isnin dan Khamis.
Bagaimana pula dengan hari yang diharamkan puasa? Mungkin ada sesetengah  daripada kita yang mengetahui akan hari-hari tersebut tetapi ada juga yang tidak mengetahuinya. Bagi yang mengetahuinya pula, mungkin tidak mendapat penjelasan kenapa hari-hari tersebut diharamkan berpuasa. Keterangan di bawah mungkin menjawab semua soalan yang bersarang di minda kita.
1.    Hari Syak (30 Syaaban)
30 Syaaban dipanggil Hari Syak iaitu hari di mana keesokan harinya umat Islam akan memasuki bulan Ramadhan untuk menjalani ibadah puasa. Menurut mazhab Syafie, Qaul masyhur Maliki dan Hambali, Hari Syak ialah pada 30 Syaaban, dan mazhab Hanafi mengatakan ianya pada hari terakhir bulan Syaaban. Ada sesetengah mazhab berpendapat makruh berpuasa pada hari ini dan ada juga yang mengatakannya haram.
Daripada Abu al-Yakzan iaitu Amar bin Yasir r.a katanya: "Sesiapa yang berpuasa pada hari yang diragukan apakah bulan Syaaban sudah habis atau bermulanya sudah bulan Ramadhan, sesungguhnya ia telah melanggar perintah Nabi SAW.”
(Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Salah satu bentuk persiapan dalam menghadapi Ramadhan yang seharusnya dilakukan oleh kaum Muslimin adalah menghitung bulan Syaaban, kerana satu bulan dalam hitungan Islam adalah 29 hari atau 30 hari sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah SAW: “Satu bulan itu 29 malam. Maka jangan berpuasa sampai kalian melihatnya (anak bulan). Jika kalian terhalang (dari melihatnya), maka genapkanlah 30 hari.” (al-Bukhari).
2.    1 Syawal (Hari Raya Aidilfitri)
Pada 1 Syawal umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.  Hari ini sememangnya hari yang dinanti oleh umat Islam. Waktu inilah masa yang diambil untuk bermaafan dan berkunjung ke rumah saudara mara.
Dari Umar bin Khattab ra., ia berkata bahwa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah SAW untuk berpuasa, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kalian berpuasa (Ramadhan) dan hari raya makan (daging korban) setelah kalian menunaikan ibadah haji.
Antara hikmah diharamkan berpuasa seperti yang disebut dalam hadis di atas ialah ketika semua orang bergembira, seseorang itu hendaklah turut bersama meraikannya.
3.    10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha)
Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah merupakan hari di mana umat Islam meraikan Hari Raya Korban. Hari Raya Korban yang membawa maksud hari penyembelihan binatang ternakan bagi yang berkemampuan. Hari ini sehingga 13 Zulhijjah umat Islam yang berkemampuan dianjurkan atau disunatkan menyembelih binatang ternak untuk dikorbankan.
Dari Abu Hurairah r.a katanya: “Rasulullah SAW melarang puasa pada dua jenis hari. Iaitu pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal).”
Amalan korban dan ibadah korban ini tidak ada di bulan yang lain, hanya di bulan Zulhijjah. Ia merupakan pengorbanan dari binatang peliharaan untuk mencapai darjat hamba ALLAH yang bertaqwa, sebagaimana ALLAH S.W.T menyatakan perintah berkorban ini di dalam Al-Quran.
4.    Hari Tasyrik pada 11,12,13 Zulhijjah
Hari Tasyrik yang jatuh pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah iaitu pada hari ke-2 hingga ke-4 Hari Raya Korban. Hari tersebut umat Islam juga diharamkan untuk berpuasa. Berkorban dengan melakukan penyembelihan binatang ternakan selama 4 hari berturut-turut (pada 10, 11,12 dan 13) di bulan Zulhijjah bagi orang-orang yang berkemampuan, adalah satu tuntutan syariat yang telah ditentukan.
Dari Nubaisyah Al-Hudzali r.a katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari-hari makan minum.”
Oleh yang demikian hari ini diharamkan berpuasa.  Umat Islam diharamkan berpuasa pada hari ini kerana mereka masih lagi meraikan Hari Raya Korban. Kita sedia maklum yang ibadah korban yang dijalankan adalah berupa penyembelihan binatang peliharaan seperti lembu, biri-biri, kambing dan binatang peliharaan yang dibenarkan dalam Islam. Ibadah ini dilakukan dengan penuh keikhlasan beserta niat kerana ALLAH SWT.