Nuffnang Ads

Saturday, October 23, 2010

PERTARUNGAN 90 MINIT LAGI AKAN MENENTUKAN

Baki 90 minit lagi perlawanan yang akan berlangsung dalam masa tidak kurang dari satu jam dari sekarang akan menentukan pemenang dan pasukan yang akan beraksi di gelanggang akhir untuk beraksi sama ada di Bukit Jalil atau venue yang akan ditentukan oleh jawatankuasa FAM nanti.

Tumpuan pada malam ini sekali lagi seluruh peminat bolasepak tanahair akan tertumpu pada pertembungan empat pasukan yang akan berhabisan berjuang pada malam ini, Lebih-lebih lagi penyokong tegar kepada pasukan yang bermain iaitu Kelantan, Kedah, Johor FC dan Negeri Sembilan. Venue yang terlibat pada malam ini ialah stadium Sultan Mohammad ke-iv, Kota Bharu dan stadium JCorp, Pasir Gudang.

Kelantan yang akan menentang Kedah pasti akan memastikan tiket ke final menjadi milik mereka apabila beraksi di gelanggang keramat mereka. Kelantan dijangka dapat menurunkan kesemua kesebelasan utama mereka dan berpeluang mengulangi semula sejarah ke saingan akhir TM Piala Malaysia 2009. Namun, skuad Kedah yang kehilangan beberapa pemain tonggak akibat pengantungan perlawanan atau kecederaan tidak harus diperlekehkan kerana berdasarkan rekod pertemuan yang lebih memihak kepada Kedah. Sebenarnya rekod yang lalu tidak perlu benar diambil kira jika diukur kepada keputusan separuh akhir pertama diantara Negeri Sembilan-Johor FC pada hari Rabu lalu yang menyaksikan skuad jang kecundang walaupun rekod pertemuan lebih memihak kepada jang.

Semua keputusan sebenarnya bergantung kepada percaturan jurulatih bagi pasukan masing-masing besertakan usaha keras pemain untuk merealisasikan hajat menggunung kesemua pasukan yang bertarung.
Kedah pada pandangan saya merupakan pasukan yang matang dan mempunyai keserasian yang kuat kerana mereka telah bermain sebagai satu pasukan selama hampir 3 tahun. Keserasian pasukan Ini dibuktikan setelah bermain cemerlang pada kempen Piala FA musim ini dan menjadi naib juara setelah ditewaskan menerusi sepakan penalti oleh Negeri Sembilan. Kekuatan pasukan hijau kuning ini dilihat lebih bersandarkan kepada pemain tonggak kebangsaan Badrul Baktiar dan Khyrill Muhymeen yang berjaya membentuk persefahaman yang gitu. Bagi Kelantan pula yang mempunyai ramai pemain bintang, mereka dilihat sebagai pasukan terbaik dan cemerlang setelah dua kali ke perlawanan akhir musim lalu dan sekadar menjadi naib juara pada kedua-dua kejohanan. Untuk kempen musim ini skuad kijang dilihat terumbang-ambing dan gagal menyerlah dan kempen Piala FA musim ini kemaraan mereka disekat oleh skuad kenari  pada suku akhir dan mereka bertembung lagi di kempen Piala Malaysia kali ini di peringkat separuh akhir. Bersandarkan kepada pemain bintang dan berpengalaman mereka seperti Indraputra Mahayuddin, Hairudin Omar, Akmal Rizal, Norsyahrul Idlan Talaha, mereka menjadi pasukan pilihan lagi pada musim ini. Menjuarai Piala Malaysia adalah menjadi harapan mengunung skuad gomo klate gomo ini besertakan sokongan penyokong fanatik mereka, apatah lagi setelah ditumbangkan Negeri Sembilan musim lalu dimana Kelantan dilihat sebagai menang sorak kerana bilangan penonton mereka yang terlampau ramai.

Beralih ke selatan tanahair pula, sejarah bakal ditempa jika Johor FC berjaya mengenepikan cabaran skuad jang yang turun sebagai penyandang juara di Pasir Gudang. Sekiranya pasukan ini berjaya melangkah ke pentas akhir, mereka akan menuruti jejak satu lagi pasukan kelab yang telah dibubarkan iaitu MPPJ Selangor yang mara dan menjadi johan Piala Malaysia 2003 yang lalu. Anak-anak buah jurulatih Azuan Zain ini pasti akan menggunakan formasi bertahan dan serangan balas pantas seperti perlawanan pertama tempoh hari. Tetapi saya yakin Johor FC akan cuba mengekalkan kelebihan agregat 0-1 mereka dan tidak sesekali mahu gawang mereka ditembusi. Ketua pasukan Eddy Helmi Manan dan rakan-rakannya pasti akan mengerah tenaga untuk mencipta sejarah mereka yang tersendiri.

Bagi anak-anak buah Wan Jamak Wan Hasan pula, kekalahan peringkat pertama di laman sendiri tempoh hari pasti memberi pengajaran berguna kepada pasukan ini. Menguasai bola, menyerang dan berpeluang untuk menjaringkan gol tidak mampu diterjemahkan pada perlawanan itu dan ditambah pula kesilapan bertindak penjaga gol mereka sekaligus memberi kekalahan pertama pasukan ini dalam kempen Piala Malaysia 2010. Kembalinya Idris Karim selepas penggantungan permainan diharap dapat memantapkan bahagian tengah pasukan dan mencipta gerakan-gerakan kreatif untuk diterjemahkan dalam bentuk jaringan oleh pemain penyerang. Mengenai status ketua pasukan Rezal Zambery Yahya pula tidak diketahui lagi setelah mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir pertama di Paroi. Shukor Adan dan Aidil Zafuan Radzak bergandingan lagi dengan perancangan yang lebih rapi. Apakah strategi WJ dalam menangani tekanan agregat 0-1 mereka dan misi mempertahankan kejuaraan?? dan peluang Kelantan - Kedah 50-50. Kita saksikan pertemuan hebat aksi kesemua 4 pasukan yang beraksi sebentar nanti dan saksikanlah pasukan mana yang akan mengucapkan selamat tinggal pada kejohanan kali ini???

Jangan lupa saksikan siaran langsung di astro arena 801 dan rtm pada pukul 8.45 malam ini.

No comments:

Post a Comment